TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Rabu, 10 Julai 2013

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1434H





Syukur kehadrat Ilahi kerana masih memberi peluang kepada kita semua untuk sama-sama mengimarahkan bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini. Peluang keemasan ini hendaklah kita guna sebaik-baiknya agar di penghujung Ramadhan kelak, kita beroleh sebaik-baik tempat di sisi Allah. Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan orang-orang yang beruntung di dunia dan akhirat. Amin...

Menjelang Ramadhan yang mulia ini, hanya dua sahaja daripada lima orang pelajar 

FCU HOMESCHOOLING yang tidak berpuasa iaitu Princess Alyssa dan Princess Adelyn. Afiq (7) tahun telah mula berpuasa penuh tahun ini. Tahun-tahun sebelum ini, dia hanya berpuasa separuh hari sahaja. Berlainan dengan Afiqah yang mula berpuasa Ramadhan penuh sejak berumur 5 tahun, manakala Hafidz pula bermula pada umur 4 tahun. Kami tidak memaksa mereka untuk berpuasa diusia muda. Oleh kerana matalamat kami memang kearah itu, mereka terbentuk dengan sendirinya untuk beribadat dengan kerelaan dan kemahuan mereka sendiri. Jelas sekali...Allah telah mencipta manusia dengan kebolehan luar biasa dan sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Hanya menunggu para ibu bapa menggarap segala kemungkinan keatas anak-anak mereka. 

Kami tidak menekankan untuk Afiq berpuasa penuh dari awal kerana dia agak lemah dari fizikal tubuh badan dan sering tidak sihat. Afiq adalah anak yang dilahirkan tidak cukup bulan. Jesteru itu dia sering mengalami masaalah pernafasan dan sering penat. Namun begitu, kesihatannya nampak beransur pulih sejak dia mula meningkat usia. 



CARA FCU MELATIH ANAK-ANAK SOLAT DAN BERPUASA
FCU sangat mengambil berat tentang ibadat solat, puasa dan juga membaca Al-Quran di kalangan pelajarnya. Ini adalah pelajaran yang paling utama dan diserapkan sejak mereka kecil lagi. Ibadat solat di perkenalkan sejak mereka masih bayi. Setiap kali kami solat berjemaah. bayi-bayi FCU akan ada bersama di saf depan. Sebaik sahaja mereka boleh bergerak seperti merangkak dan sebagainya, kami biarkan sahaja mereka bergerak bebas untuk mempelajari cara-cara solat mengikut kefahaman mereka. Hasilnya, mereka sudah dapat mengikuti solat berjemaah sebaik sahaja mereka boleh berdiri tegap dan berupaya rokok dan sujud cara mereka. Masa berlalu dan mereka membesar dalam suasana ibadat solat 5 kali sehari. Dengan ini, Alhamdulillah kami tidak menghadapi masaalah untuk memaksa anak-anak mendirikan solat kerana ibadat ini sudah menjadi darah dan daging mereka.

Alyssa mula berjinak dengan solat secara tertib ketika dia berumur setahun. 
Dia mula berjalan pada umur 11 bulan. Bila berumur setahun, 
dia sudah boleh perform pergerakan ruku' dan sujud dengan baik. Ketika photo 
ini diambil, jemaah FCU bersiap sedia untuk mulakan solat berjemaah.




Setiap pergerakan jemaah akan diperhatikan  oleh 
Alyssa terlebih dahulu. Apabila orang sudah siap perform ruku' , 
barulah  dia mula perform  pergerakan ruku' . Di usia ini Alyssa masih 
tidak menghafal dengan baik segala pergerakan dalam solat. 



Walaupun baru berusia setahun, Alyssa sudah dapat 
sujud dengan baik. Sujudlah wahai Alyssa mengadap 
Tuhan yang telah memilih mu untuk hidup di dunia ini
dan menjadi khalifahNya. 
Afiqah yang sedang sujud di sebelah 
kiri Alyssa adalah idola yang hebat buat Alyssa. 




Kami mula memperkenalkan ibadat puasa sebaik sahaja mereka berusia empat tahun. Biasalah anak-anak sekecil ini akan bangun tidur lewat seperti pukul sepuluh pagi. Selepas mandi dan makan pagi, kami akan mulakan latihan berpuasa. Oleh kerana mereka sudah kenyang dan orang sekeliling juga tiada yang makan dan minum, mereka dapat berpuasa hingga waktu berbuka. Usaha mereka ini mendapat pujian dari semua ahli keluarga ketika waktu berbuka puasa. Oleh kerana FCU adalah satu keluarga yang besar, suasana berbuka memang meriah. Anak-anak kecil sangat menantikan saat-saat yang indah ini kerana mereka rasa bahawa sudah besar dan diterima dalam satu pasukan. Biasanya, hanya segelas air manis (seperti air barli panas) dan buah kurma yang menjadi hidangan utama. Hanya selepas solat maghrib, kami akan menjamah juadah berbuka puasa.  


AMALAN-AMALAN YANG DIGALAKKAN SEPANJANG BULAN RAMADHAN


1)Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.

2)Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.


3)Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.


4)Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.


5)Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.


6)Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.


7)Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.


8)Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. 



Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


"Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah 
dan tangannya terhadap muslim yang lain"



Marilah kita sama-sama menjaga akhlak zahir dan batin agar segala amalan kita diterima
Allah. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...