TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Sabtu, 4 Oktober 2014

PEMBIAKAN SECARA TUT (MARCOTTING) OLEH HAFIDZ


Pembiakan secara tut (marcotting) sangat sesuai untuk pokok yang bekayu. Apa-apa sahaja pokok yang boleh tumbuh melalui keratan batang, memang sesuai dengan cara tut. Kelebihan cara tut dari tumbuh melalui benih ialah kita tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapat sebatang pokok yang cukup besar. Dengan cara tut, kita akan memperolehi generasi pokok yang sama seperti pokok asalnya.

Kami selalu menggunakan kaedah ini untuk mengambil mana-mana bahagian yang sesuai untuk dibuat bonsai. Kali ini Hafidz membuat kaedah tut pada sebatang pokok asam. Pokok ini agak panjang batangnya. Nampak tidak cantik untuk dibuat bonsai. Batangnya juga sudah keras untuk dilentukkan dengan dawai. Hafidz hendak ambil bahagian atas yang berhampiran dengan rimbunan daun.

Bahan-bahan:
-Sebilah pisau tajam
-Plastik (mana plastik pun boleh asalkan cukup lebarnya
-Tali untuk mengikat
-Tanah campuran, serbuk sabut kelapa atau sphagnum
-Sedikit air untuk melembabkan

Langkah-langkah mengetut:
1) Sediakan kepalan campuran tanah sebesar telur ayam. Renjis sedikit air agar lembab.
2) Pilih dahan yang sesuai dan buang segala daun yang berada di bawah kelaran yang kita buat.
3) Buat kelaran sekeliling pokok. Kelaran pertama hendaklah di bawah mata tunas dan kelaran kedua pula selepas 2 cm jauhnya dari kelaran pertama tadi.
4) Kupas kulit antara dua kelaran itu termasuklah cambium hinggalah kita berjumpa lapisan kayu.
5) Sapu penggalak akar pada bahagian kelaran atas.
6) Ambil tanah yang telah dibasahkan tadi dan diletak atas plastik yang cukup lebar untuk dililit di sekeliling batang nanti.
7) Bungkuslah plastik yang berisi tanah tadi  ke sekeliling pokok dan ikat pada bahagian atas dan bawah dengan tali.

8)Selepas 2-3 bulan, tut ini akan mengeluarkan akar. Potong di bahagian bawah tut itu dan tanam  ke dalam polibeg plastik terlebih dahulu untuk proses pembesaran. Apabila sudah mantap, boleh ubah di tempat yang sesuai.

Tip: 
Untuk menggalakkan akar tumbuh cepat, kita boleh mencederakan sedikit pada batang bahagian dekat dengan atas tut. Kita telah membuat gangguan pada pokok dan hasilnya akan berlaku pergerakan kebawah bahan organic seperti karbohidrat, auxin dan zat-zat lain dari daun dan pucuk ke tempat yang dicederakan. Dengan ini, akan membantu mempercepatkan proses pertumbuhan akar.


Batang pokok asam ini halus dan panjang memacak. 
Tiada lenggok pada batang untuk kita melihat seni bonsai. 
Pilihan terbaik ialah mengambil bahagian atas yang 
dekat dengan dahan-dahan. 



Membuang lapisan kambium pada pokok asam.



Proses pembuangan kulit luar pokok


Pastikan plastik yang berisi tanah diikat dengan ketat. 
Ini dapat mengelak air dari siraman pokok atau air 
hujan masuk yang akan mengganggu proses 
pertumbuhan akar.



Sudah siap...Senang sahaja. Alhamdulillah.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...