TRANSLATE THE BLOG TO YOUR LANGUAGE
English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Khamis, 30 Ogos 2012

ILMU SARA HIDUP SEBAGAI ASAS PEMBELAJARAN FCU HOMESCHOOLING


FCU sangat menitik beratkan ILMU SARA HIDUP di kalangan anak-anak. Ilmu sara hidup adalah ilmu yang paling asas seseorang manusia perlu mahir demi meneruskan kehidupan dan menjalankan tugas sebagai khalifah diatas muka bumi ini. Dengan adanya ilmu sara hidup, anak-anak kita tidak akan lemah apabila berlaku sesuatu tanpa diduga di dalam kehidupan mereka. Kita sudah bekalkan ilmu asas kehidupan yang mana mereka hanya perlu ikhtiar untuk terus maju kedepan.

Setiap kali cuti semester universiti, mereka akan ke laut luas mengikuti para nelayan menangkap ikan. Mereka akan jadi pelatih tanpa gaji. Tujuan utama kursus pendek inilah untuk memahirkan mereka tentang selok belok mengendalikan bot, teknik menangkap ikan dan keberanian menghadapi ombak ganas di lautan. Langkah ini telah membentuk mereka menjadi berani dan tangkas dalam berenang dan menyelam. Saya sebagai ibu, sering rasa senak perut setiap kali mereka ke laut menangkap ikan. Tanpa henti doa dipanjatkan ke hadrat Illahi mengiringi setiap saat mereka di laut. Pernah satu ketika, bot yang ditumpangi oleh salah seorang anak lambat pulang. 

Mereka bertolak pada pukul 3.00 pagi bersama bekalan nasi,lauk dan air minuman. Lebih kurang pukul 4.00 petang keesokan harinya mereka sudah sepatutnya mula melabuhkan bot di pantai bersama hasil tangkapan. Jam sudah pukul 5.00 petang, kelibat sauh bot tidak juga kelihatan. Kalau ada apa-apa berlaku, mereka boleh guna hand phone sekiranya tidak jauh dari daratan. Sudah hampir maghrib dan mereka yang pergi menangkap ikan masih juga tidak pulang. Hatiku sudah tidak keruan. Isteri kepada nelayan yang kami tumpang itu datang ke rumah dan beliau juga dalam kebimbangan tentang nasib suaminya. Mereka telah hantar bot peronda untuk menjejak khabar dari laluan yang biasa diambil oleh nelayan tersebut. Lebih kurang pukul 9.00 malam, bot peronda kembali bersama bot yang ditumpang oleh anakku. Betapa rasa bersyukur ke hadrat Illahi atas takdir yang berkesudahan dengan anak kembali ke pangkuan. Rupa-rupanya berlaku kerosakan enjin semasa mereka dalam perjalanan pulang dan tempat itu terlalu jauh ke lautan untuk dapat coverage hand phone. Kejadian hari itu tidak melemahkan semangat kami untuk terus mendedahkan anak-anak kami bertarung di lautan luas. Sebagai pemimpin alam ini, seharusnya mereka juga pakar dalam selok belok lautan yang pastinya sangat berguna dalam kehidupan mereka kelak.

PUSAT BONSAI LANGKAWI
FCU BONSAI sudah tidak asing lagi di kalangan penggiat bonsai Langkawi. Kami sering menjadi pusat untuk pembelajaran bonsai samada oleh sifu yang di undang khas dari tanah besar mahu pun oleh  sifu dari FCU itu sendiri. Kami  dedahkan anak-anak dalam bidang pertanian khususnya  bonsai sejak dari kecil lagi. Sekiranya kita serius dalam perniagaan bonsai, pendapatannya memang lumayan kerana harga sepokok bonsai boleh mencecah ribuan ringgit.


PERNIAGAAN ADALAH SUMBER EKONOMI YANG TERBESAR



Kami mula menanam minat pada anak-anak dalam ilmu perniagaan sejak mereka kecil lagi. Cara yang terbaik ialah dengan melibatkan mereka dengan tugasan perniagaan keluarga sesuai dengan umur mereka. Kita hanya perlu percaya mereka boleh buat dan sesungguhnya mereka akan menjadi lebih mahir dalam apa yang kita dedahkan. FCUMIRACLE adalah perniagaan berasaskan perubatan traditional yang sedang kami usahakan. Kini, mereka adalah tulang belakang kepada family business ini. 


FCUPRODUCTION SEBAGAI WADAH UNTUK MAJU KEDEPAN 
Mereka tidak ke universiti untuk menggali ilmu penggambaran ini namun FCUPRODUCTION sudah cukup gah di kalangan pembuat video di Pulau Langkawi. Hanya pembelajaran dari rumah menerusi Youtube, mereka menjadi mahir lebih dari rakan-rakan mereka yang mempelajari bidang yang sama di pusat pengajian tinggi. Ini menjelaskan bahawa usaha yang gigih pasti membuahkan hasil walaupun hanya belajar kendiri. FCUPRODUCTION juga sering menjadi pilihan bagi syarikat swasta untuk membuat video korporat samada dari dalam negara mahupun luar negara. Kami bergiat aktif dalam menghubungkan warga Langkawi menerusi facebook dengan nama Langkawistory.


MEMBINA RUMAH DALAM KEBERKATAN RAMADHAN

Pondok ini adalah titik tolak bermulanya era membina rumah. Tanpa sebarang kemahiran dan ilmu, anak-anak kami yang fresh dari universiti dan alam persekolahan telah mengembeling tenaga dan fikiran untuk membina sebuah rumah ringkas dalam masa 30 hari :
FCU CHALLENGE DAY 1 TO 3 : FCU BUILD A HOUSE IN 30 DAYS
Setelah 15 hari berlalu, kami mengubah rancangan asal dari membina sebuah rumah ringkas kepada sebuah rumah dua tingkat yang dilengkapi dengan segala kemudahan terkini seperti spa. Sudah tentu mereka tidak akan dapat menyiapkan rumah hebat ini dalam masa 30 hari. Kini tugasan mereka lebih mencabar untuk menrealisasikan impian sebuah  rumah hebat iaitu LOG HOUSE dua tingkat yang dilengkapi dengan spa.

Tuntutan tugas dalam FCUPRODUCTION, menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan pembinaan rumah tingkat atas. Hanya dalam bulan Ramadhan ini sahajalah mereka rehat dari sebarang penggambaran dan inilah peluang yang ada untuk menyudahkan apa yang telah dimulakan. Mentari terik bulan Ramadhan cukup memberi cabaran kepada usaha mereka.



Inilah dua buah mesin pengadun semen yang disewa dari penduduk kampung.
Oleh kerana kesempitan ruang, mesin ini diletakkan agak jauh dari
kawasan pembinaan rumah.




Hafidz mengangkut semen yang sudah siap diadun ke kawasan 
pembinaan.





Seterusnya semen ini akan diangkut ke tingkat dua rumah yang sedang dibina.



Tajrid dengan kostume pelindung matahari. Ini adalah antara 
fesyen rekaan mereka agar tidak hangus dibakar matahari 
yang memang sangat perit dan bahaya untuk kulit.





Tajrid dan Hafidz bergotong royong mengangkut semen ke tingkat atas.




 Sentuhan terakhir lantai tingkat atas sebelum dinaikkan dinding.




Hasil kerja mereka setaraf dengan kerja pembinaan yang diluluskan. 
Walaupun tanpa pengalaman dan ilmu pembinaan, mereka gigih 
menyiapkan sebuah rumah LOG HOUSE tiga tingkat dengan berbekalkan 
penyelidikan di internet sahaja. Homeschooling memang tiada batasannya selagi
kita ada usaha dan kemahuan.


GARDEN HOUSE, LOG HOUSE AND BEACH HOUSE
Ramadhan 2012 adalah masa yang paling berkat untuk 8 orang anak muda FCU 
( Hafiz dan abang-abangnya) memulakan pembinaan rumah menganjur ke laut. Rumah yang kami diami sekarang memang sudah berada dalam lautan bila air pasang dua kali sehari (waktu bulan mengambang). Kami telah menambak tanah di bahagian depan rumah hingga dapat membina kolam dan taman bonsai. Rumah ini kami namakan Garden House.

Log House yang sedang kami bina dihentikan buat sementara dan usaha seterusnya ialah pembinaan rumah ketiga yang kami panggil Beach House. Rumah ini akan masuk lebih jauh ke lautan dan pastinya bakal menikmati pemandangan lautan yang lebih menarik. Beach House ini juga bakal menjadi rumah tiga tingkat seperti Log House.

Pada akhir dan awal bulan Hijrah, air laut surut dan rumah kami seperti berada di atas padang yang luas. Waktu sebeginilah kami dapat menggali tanah untuk membina tiang rumah. Di sebabkan fakta inilah kami berhentikan pembinaan Log House buat sementara waktu dan teruskan dengan pembinaan Beach House.




Hafidz sedang memeriksa keutuhan rangka besi yang telah dibina.




Hafidz dengan kostume pelindung sinaran matahari ciptaannya sendiri.



 
FCU guys berhempas pulas menyiapkan tapak binaan sebelum
air laut pasang dalam. Adalah mustahil untuk membina tiang apabila 
air mula pasang dalam 2 kali sehari. Ketika itu struktur tanah juga 
sangat lembab kerana digenangi air laut berterusan.

 
Rumah yang bakal dibina akan menganjur jauh melintasi pokok bakau
di depan beranda belakang kami. Ini bermakna pokok ini bakal ditebang.
Memang sayang sekali...kerana pokok ini adalah tempat mainan anak-anak. 
Mereka sering membaca buku dan menikmati makanan sambil menghirup 
bayu lautan yang nyaman.




 Memasang kayu pada palang besi untuk membuat foundation bangunan.




Sedang memeriksa foundation agar semuanya dalam keadaan yang stabil.






Air laut sudah mula pasang. Terpaksa tunggu beberapa jam 
kemudian barulah air laut kembali surut.  Ini bermakna kerja
 tergendala buat beberapa jam.





Oleh kerana mesin pengadun semen terletak jauh di depan 
sana (tempat parking kereta), anak-anak mengadun semen
secara manual sahaja.




Dalam usia yang baru meningkat remaja(13 tahun), Hafidz sudah biasa dengan selok belok pembinaan rumah. Inilah pembelajaran homeschool yang sangat real dan berguna dalam hidupnya. Tanpa homeschool, Hafidz hanya akan bergelumang dengan kerja sekolah yang menimbun setiap hari dan zaman remajanya berlalu begitu sahaja tanpa suatu impac yang besar dalam hidupnya. Suatu ketika nanti, dia akan bina rumahnya sendiri tanpa campur tangan orang lain. 



Masih ingat lagi arwah ayah di kampung. Masa itu aku sedang belajar di Sekolah Tun Fatimah. Selama setahun ayah telah bekerja di Singapura sebagai buruh pembinaan bangunan pencakar langit. Sepanjang hidupnya dia adalah seorang pemandu kereta sewa, yang membolehkan kami keluarga yang hidup secara sederhana menikmati keistimewaan dan kemudahan bergerak dalam kereta Merchedese benz. Selama setahun itulah aku sering menerima lawatan ayah pada setiap hujung minggu kerana Johor Baharu (tempat sekolahku)  tidak jauh dari Singapura. Ayah mempunyai misi khas bekerja sebagai buruh meninggalkan keluarga nun jauh di Kelantan. Di samping bayaran yang lumayan, ayah beroleh segala kepakaran terkini dalam pembinaan rumah. Setahun kemudian, ayah membina sebuah rumah menggantikan rumah pusaka yang sudah uzur dimamah usia. Ayah tidak mahu mengupah orang lain kerana dia hendak pastikan rumah itu dibina oleh orang yang bersembahyang dan berakhlak mulia. Walaupun mengambil masa yang agak lama, akhirnya ayah telah menghadiahkan kepada kami sebuah rumah hasil titik peluhnya sendiri yang penuh keberkatan. Di rumah itulah kami sembilan adik beradik membesar.

Sememangnya setiap rumah mempunyai aura tersendiri. Aura ini banyak dipengaruhi oleh jiwa-jiwa orang yang membinanya. Bukannya senang untuk mencari pembina rumah yang tidak meninggalkan solat. Alternatifnya, terpaksalah kita bina sendiri.




Mengisi foundation yang dibina dengan semen.


  
Muafakat membawa berkat. Mereka sentiasa bersatu hati dalam setiap aktiviti keluarga. 
Homeschool dalam keluarga yang besar seperti kami adalah satu kelebihan dan 
begitu istimewa. Homeschool membuat mereka bersatu hati dan maju kedepan
 bersama-sama. Pembelajaran tiada sempadan ini berlangsung seumur hidup mereka.




Keesokan harinya, semen dah mula kering. Beberapa keping play wood 
diletak atas alang besi  sebagai dasar lantai  bangunan.





Langkah seterusnya ialah menutup play wood dengan batang keluli yang 
telah disusun terlebih dahulu seperti di dalam gambar.




Memang sudah lama kami mengidam rumah yang jauh menganjur ke laut.
Selain pemandangan dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, 
ikan-ikan yang dipancing di kawasan ini juga lebih banyak variety  nya.




Sebaik sahaja lepas solat zohor dan makan tengahari, FCU guys terus
memulakan kerja mereka. Air laut dah surut waktu ini dan segala kerja
menjadi lebih senang. Air laut akan mula memenuhi ruangan bawah rumah kami pada 
pukul sebelas. Sebenarnya, waktu pasang surut air laut tidak tetap pada setiap hari. Ianya 
banyak bergantung kepada bentuk bulan di langit. Pada malam bulan mengambang penuh, air lautpasang dalam dan ombak pun besar. Masa inilah yang paling best 
kerana boleh tidur dalam ulitan dan irama ombak yang sangat 
menyegarkan minda. Masyaallah...Alhamdulillah..





Proses pembuatan lantai bangunan ini diteruskan hingga ke malam hari. Mereka hanya berhenti untuk mengerjakan solat. Masa berbuka puasa pun, makan ala kadar sahaja. Tiada masa boleh dilengah-lengahkan kerana faktor air akan pasang bila tiba waktunya dan ini bermakna semua kerja perlu diberhentikan. Aku hanya menyediakan air minuman selepas satu jug ke satu jug yang lain. Mula-mula fresh orange juice, lepas tu...miracle tea (herba tea buatan sendiri) dan akhirnya kopi panas untuk mengembalikan tenaga yang sudah dikerah sejak waktu zohor lagi.....Ibu salute anak-anakku semua. You are the best of all.....




HOMESCHOOL MENYATUKAN MEREKA


Sejuk mata memandang....Pasti mana-mana ibupun akan merasa bangga bila anak-anak bermuafakat bersatu hati membangunkan keluarga. Apalagi dengan bilangan anak yang ramai dan mereka mula berbakti kepada kedua ibu bapa. Homeschool merapatkan ikatan mereka dunia dan akhirat. Mereka membesar saling bantu membantu dan tiada yang tercicir dari segi perkembangan jasad dan minda. Mereka umpama satu badan dan setiap individu adalah merupakan anggota-anggota penting yang menghidupkan roh dan jasad. Umpama seberkas kayu yang diikat, mereka teguh berdiri mengharung kehidupan.

Aku juga dari keluarga besar. Adik beradik sembilan orang semuanya. Memanglah kedua ibubapaku tidak mengamalkan homeschool di kalangan kami adik beradik. Masing-masing berjaya mengikut keupayaaan dan usaha masing-masing. Dalam kesemua adik beradik itu, tidak semua yang bernasib baik dan berjaya dalam pelajaran dan standard kehidupan mereka seterusnya sangat bergantung kepada pencapaian akademik mereka. Bila berkahwin dan ada keluarga sendiri, masing-masing membawa haluan masing-masing. Yang senang tetap senang dan yang susah asyik meraih simpati. Jauh sekali dengan corak kekeluargaan yang kami bina sekarang. Walaupun sudah berkeluarga, tetapi kami tetap dalam satu kumpulan FCU. Tiada kepentingan pribadi kerana kami lebih utamakan keperkasaan FCU itu sendiri. Kesemua anak naik serentak dan masing-masing dengan kelebihan personaliti yang sangat istimewa dan keistimewaan ini adalah kekuatan kami  sekeluarga. Sebenarnya inilah kunci kejayaan masyarakat Islam pada zaman dahulu. Mereka bergerak bawah nama keluarga dan muafakat yang jitu tanpa mementingkan diri sendiri mencetus kejayaan yang unggul.




Memasang lampu untuk mencerahkan suasana tempat kerja




Baju yang dipakai oleh Tajrid ini sangat istimewa kerana mampu 
melantunkan cahaya dalam gelap.






Jam hampir pukul sebelas malam. Gigi air laut sudah mula mencecah tiang-tiang rumah. Gurindam ombak sungguh permai telinga mendengarnya. Dilangit bulan mengambang penuh dan di hiasi bintang-bintang gemerlapan. Akhirnya, mereka berjaya menyiapkan sebahagian lantai rumah. Esok-esok mereka akan menanam tiang lagi untuk menambah lantai rumah menganjur ke laut luas.



Hafidz dan abang Musa sedang menikmati secangkir kopi panas, mengubat lelah bekerja dari tengahari lagi. Aku di dapur sedang sibuk menyediakan makanan panas buat anak-anak yang memang sudah lapar sangat-sangat. Apa tidaknya.....masa berbuka tadi..hanya lapik perut sahaja. Lepas mandi....ramai-ramai makan bersama. Indahnya hidup sekiranya kita tahu apakah tujuannya dan ke manakah akhirnya kita. Kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan untuk kita ke sana.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...